ABANG JOHARI: DEMI KEMAJUAN SARAWAK, PEMIMPIN PELAPIS PERLU DIPERKASA, DILATIH

Menjadi pemimpin Sarawak bukan senang, kerana pemimpin perlu adil kepada semua, dan tidak boleh dipengaruhi emosi

KUCHING: Pemimpin sekarang perlu memperkasa pemimpin muda bagi memastikan kesinambungan kepemimpinan  di Sarawak.

Mengakui tidak mudah menerajui Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan agama yang rencam, Ketua Menteri semalam berkata, amat penting untuk pemimpin sekarang melatih pemimpin muda sebelum mereka mengambil alih tanggungjawab dan amanah.

Berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tritahunan Pertubuhan Kebangsaan Belia Sarawak (Saberkas) Negeri Sarawak di sini semalam, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Presidennya berkata, apabila tiba waktunya, pemimpin sekarang perlu melepaskan tanggungjawab kepada pemimpin pelapis.

“Kita perlu perkasakan pemimpin muda. Itu yang akan saya lakukan sebelum saya bersara kelak,” katanya sambil menambah, menjadi pemimpin Sarawak bukan senang, kerana pemimpin perlu adil kepada semua, dan tidak boleh dipengaruhi emosi.

Beliau berkata, sejak 45 penubuhannya, Saberkas memperlihatkan kematangan, dan Saberkas perlu berubah dalam membangunkan dan memajukan beliau sesuai dengan perubahan zaman.

Katanya: “Yang penting terdapat kesinambungan dalam kepimpinan, dan pada waktu yang sama kita pertahankan budaya kita, bagaimana mengurus golongan belia, dan bagaimana mereka ini dapat menyumbang kepada pembangunan Sarawak.”

Abang Johari menekankan prinsip keterangkuman, tanpa mengabaikan mana-mana kaum seperti diamalkan dalam Saberkas.

“Jika semua kaum terbabit, dengan mengambil kira keperluan semua kaum dan agama, maka negara ini akan menjadi aman damai. Inilah asas perjuangan kita,” ujarnya.

Beliau berkata, kepentingan semua kaum perlu dipertimbangkan,dan itulah sebabnya dalam Saberkas tidak terdapat pandangan yang melampau. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo