ABANG JO JAMIN SARAWAK TERUS IKTIRAF UEC – MICHAEL MANYIN

Sarawak negeri pertama mengiktiraf sijil yang dikeluarkan oleh Sekolah-sekolah Menengah Bebas Cina (MICSS) itu.

SIBU: Datuk Amar Abang Johari Tun Openg memberi jaminan kerajaan negeri akan terus mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sepanjang termanya sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Dasar itu yang turut merangkumi  bantuan kewangan kepada sekolah persendirian, diperkenalkan oleh bekas Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem bagi membolehkan pelajarnya memohon pinjaman dan biasiswa daripada Yayasan Sarawak dan bekerja dengan kerajaan negeri apabila mereka menamatkan pengajian.

“Kami iktiraf UEC kerana kami tidak mahu kehilangan bakat-bakat muda kita kepada negara lain,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong yang mewakili beliau merasmikan bangunan baharu Sekolah Tinggi Katolik, di sini semalam.

Abang Johari berkata walaupun sekolah Cina dan mubaligh tidak menerima sokongan yang sama seperti sekolah kerajaan, mereka juga memainkan peranan dalam menghasilkan individu berbakat dan berpengetahuan yang menjadi sebahagian daripada sumber manusia negeri.

 “Menyedari akan kepentingan sekolah persendirian dalam pembangunan Sarawak, kerajaan negeri membantu institusi ini agar mereka terus dapat menyediakan pendidikan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata Sibu bukan sahaja tempat pendidikan yang penting untuk penduduknya tetapi seluruh rakyat Sarawak.

Beliau berkata Sibu telah menghasilkan ramai individu cemerlang yang menyumbang dalam pembangunan Sarawak dan negara.

“Walaupun ada beberapa saluran dan jenis sekolah di Sarawak, kita berperluang berkongsi idea dan matlamat bersama dalam hidup, dan pencapaian ini harus sentiasa menjadi asas perpaduan kita. Berbeza antara satu sama lain tidak bermakna kita tidak boleh bersatu,” katanya. Bernama

Kategori
Borneo