Abang Jo dimasyhur Pro-Canselor Unimas, 4,120 graduan terima ijazah bermula hari ini

Pengisytiharan majlis konvokesyen ke-21 itu disempurnakan oleh Canselor Unimas, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

KOTA SAMARAHAN: Seramai 4,120 graduan akan memperolehi ijazah dalam pelbagai peringkat pengajian termasuk Doktor Falsafah pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra, Unimas.

Pengisytiharan majlis konvokesyen ke-21 itu disempurnakan oleh Canselor Unimas, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Turut berlangsung pemasyuran Pro-Canselor baharu UNIMAS iaitu Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, yang dilantik pada 1 November lalu.

Majlis konvokesyen yang sama menyaksikan penyampaian anugerah akademik seperti Anugerah Pelajaran Di Raja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Canselor dan Anugerah Pro Canselor kepada graduan terpilih menerusi kecemerlangan mereka dalam akademik dan ko-kurikulum sepanjang pengajian.

Seramai 444 graduan daripada ijazah doktor falsafah hingga sarjana serta 48 graduan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Unimas dalam program linguistik akan menerima ijazah mereka daripada Tun Abdul Taib.

Antara acara lain yang turut diadakan sepanjang minggu konvokesyen tersebut termasuklah Citrawarna, Konsert Perdana 2017, pertandingan joran, pertandingan Dota 2, Karnival Sukan Confest, Human vs Zombie, Pertandingan FIFA Confest serta gerai-gerai jualan makanan, fotografi, cenderahati dan bunga. – Sarawakvoice

Kategori
Borneo