Ahmad Husni jangka Bajet 2018 tingkatkan pendapatan rakyat

Dulu gaji kita berbanding KDNK adalah 33 peratus dan kemudian naik kepada 35 peratus dan hasrat kita adalah untuk meningkatkannya kepada 42 peratus supaya sama dengan negara-negara maju,

KUALA LUMPUR: Pendapatan rakyat dijangka meningkat lebih tinggi dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang hasil pelbagai dasar yang diperkenalkan kerajaan termasuk inisiatif-inisiatif yang dicadang dalam Bajet 2018 yang dibentang Jumaat lalu.

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN-Tambun) berkata kerajaan telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan pendapatan rakyat kepada 42 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selari dengan negara-negara maju.

“Saya bersama Bank Negara membuat kajian pada 2009 dan kita dapati kenaikan harga barang sebelum tahun itu cukup tinggi tetapi kenaikan gaji kita cukup rendah, jadi dengan inisiatif seperti terkandung dalam bajet ini hasratnya adalah untuk menaikkan gaji rakyat.

“Dulu gaji kita berbanding KDNK adalah 33 peratus dan kemudian naik kepada 35 peratus dan hasrat kita adalah untuk meningkatkannya kepada 42 peratus supaya sama dengan negara-negara maju,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Husni yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan II dari tahun 2009 hingga 2016, menyatakan keyakinan menerusi Bajet 2018 dan bajet-bajet akan datang, kenaikan pendapatan rakyat akan meningkat.

Beliau berkata semua pihak termasuk pembangkang perlu menyokong bajet itu kerana ia mengandungi inisiatif-inisiatif untuk membangunkan negara yang akan memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Saya menjadi Menteri Kewangan Kedua dari 2009 hingga 2016. Saya tidak mahu cakap besar kerana saya ingin menyatakan Bajet 2018 adalah yang terbaik yang diperkenalkan di negara ini sebab kita berdepan dengan gelombang ekonomi dunia yang persaingannya begitu tinggi tetapi kita berjaya menghasilkan bajet yang begitu holistik,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Husni berkata semua pihak harus mengakui bahawa pembangunan positif yang dikecapi Pulau Pinang dan Selangor adalah hasil pelaksanaan dasar di peringkat persekutuan seperti Pelan Transformasi Ekonomi yang telah membantu negara menghadapi cabaran ekonomi dunia.

Katanya kedua-dua negeri itu adalah sebahagian daripada Malaysia dan secara tidak langsung menikmati kesan pelaksanaan dasar-dasar yang diperkenalkan di peringkat persekutuan.

Persidangan dewan bersambung esok.

— BERNAMA

Kategori
BeritaEkonomi